Hargailah setiap detik kehidupan~
Bismillah…
Manfaatkanlah setiap saat untuk mencari redha Allah.
Firman Allah s.w.t :
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digongcangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
(Al-Baqarah: 214)
Al-Imam Muhammad bin Ali Zainal Abidin bin Husain bin Ali bin Abi Thalib pernah menyatakan salah satu antara tiga perkara yang menghancurkan seseorang ialah apabila dia lupa akan dosa yang dilakukannya. Sungguh, apabila kita laju berlari ke hadapan, kita lupa untuk berhenti sejenak dan mengambil beberapa langkah ke belakang untuk memperkukuhkan lagi larian yang bakal kita teruskan. Sedangkan perlu kita sedar, di sepanjang perjalanan musuh tidak leka memerhati setiap langkah dan menunggu peluang untuk merebahkan kita atau menyimpang larian kita dari detinasi yang sepatutnya. Dan ini tidak mustahil terjadi sekiranya kita terlalu berpuas-hati dengan kekuatan larian kita, atau terlalu yakin dengan jalan yang dilalui sehinggakan kita tidak sedar bahawa diri sudah terpedaya dek rayuan dan bisikan halus si syaitan durjana.
Kehidupan kita ini hanyalah pinjaman dan kita tidak berhak walau sedikit pun ke atas nyawa ini. Kita bisa berusaha bermati-matian untuk mengelak sesuatu yang tidak diingini terjadi ke atas diri kita, tetapi pengakhirannya hanya Allah s.w.t yang tentukan. Sebagai contoh, kita jaga permakanan kita untuk mengelakkan ditimpa penyakit, kita belajar bersungguh-sungguh untuk mengelakkan kita gagal atau kita bekerja keras mengumpul harta supaya tidak ditimpa kemiskinan dan sebagainya, namun semua itu tidak menjamin kesudahan yang bakal kita tempuhi. Saya tidak mengatakan yang semua ini tidak perlu, tetapi perlu diingat panas tidak selalunya sampai ke petang. Bisa sahaja terjadi hujan ribut di tengahari. Apa lagi yang perlu selain persiapan-persiapan ini adalah persediaan ruhiyyah yang secukupnya untuk menghadapi dugaan-dugaan mendatang. Dan yang jelas bukan sebarang orang boleh menghadapi dugaan dari-Nya dengan hati yang redha dan penuh kesabaran kecuali mereka yang sentiasa teguh yakin dengan janji-janji Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t :
Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
(at-Taghaabun: 11)
Kita tidak perlu risau akan ujian yang mendatang seandainya setiap saat kita manfaatkan sebaik-mungkin dalam usaha mencari redha-Nya. Sesukar mana ujian yang bakal ditempuhi bukan kita yang layak mengukurnya, kerana Allah telah berjanji bahawa setiap ujian yang datang adalah sesuai dengan kesanggupan hamba-Nya yang ditimpa ujian itu. Firman-Nya lagi:
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya…(al-Baqarah:286)
Oleh itu, marilah kita memanfaatkan setiap detik kehidupan ini. Dalam kita terlalu sibuk beramal, ambillah masa seketika untuk beruzlah dan muhasabah diri. Dan seterusnya berusaha memperbaiki apa-apa kelemahan yang masih dimiliki. Jadikan setiap inci perbuatan kita sebagai ibadah dengan mengikut syariat dan sunnah serta niat Lillahi. Jangan kita terlalu yakin dengan amal yang mungkin banyak kita lakukan selama ini kerana tidak mustahil jika sebahagian besarnya tidak diterima Allah s.w.t atas khilaf-khilaf yang kecil kita lakukan. Dan jangan terlalu mengharapkan persediaan-persediaan yang kita lakukan mempunyai pengakhiran yang baik, sedangkan tidur pun belum tentu kita bangun pada esoknya. Sebaliknya berharaplah akan keredhaan Allah memenuhi setiap ruang kehidupan kita tidak kiralah apa juga keadaan kita lalui, sama ada sihat mahupun sakit, kaya ataupun miskin dan sebagainya. Kerana dengan keredhaan-Nya lah, kita beroleh pengakhiran hidup yang sempurna.
Bak kata mereka yang cerdik pandai : Tujuan hidup ini ialah mencari mati yang sempurna.
Mari merakyatkan masjid dengan pemuda~
Bismillah…
Seorang Sheikh dari timur tengah dalam lawatannya selama sebulan ke Malaysia bercerita dalam satu kuliah di masjid (ucapannya lebih kurang begini);
” Hampir 2 minggu saya berada disini, dalam pemerhatian saya, mereka yang datang memeriahkan rumah Allah s.w.t kebanyakannya terdiri daripada orang-orang tua yang lanjut usia. Kerap kali saya sendirian berfikir, dimanakah para pemuda harapan agama di Malaysia ini? Adakah negara Islam ini sudah ketandusan pemuda? Apakah ada perkara yang lebih memerlukan khidmat bakti mereka berbanding memuliakan masjid Allah ini? Tidak! Tidak akan ada yang lebih utama selain menyahut seruan azan! Situasi ini benar-benar menyedihkan hati.
Pada suatu petang, selepas menunaikan solat asar di satu bandar besar, saya berjalan-jalan melihat keadaan masyarakat di sekitar masjid. Rata-rata tempat sama ada di pasaraya, kedai-kedai kecil, gerai-gerai makan, semuanya dipenuhi dengan pemuda. Terdetik jauh di sudut hati, Islamkah mereka ini? Namun, hampir semua yang saya temui mampu menjawab salam yang saya berikan dengan lancar. Lantas, apakah yang menghalang mereka dari mengunjungi masjid-masjid tatkala azan berkumandang? Setiap pemuda yang saya jumpa saya ketukkan dengan soalan tersebut. Dan jawapan yang saya terima dari mereka hampir sama. Seolah-olah ianya satu soalan di dewan kuliah dengan standard jawapan yang sedemikian; Saya datang dengan pakaian yang tidak sesuai ke masjid, dan saya tidak membawa persalinan yang sesuai ke masjid. Saya menggali maksud persalinan yang sesuai atau pakaian yang sesuai yang mereka nyatakan. Saya meneliti keadaan di masjid dengan realitinya diluar masjid. Iya, apakah yang mereka maksudkan dengan pakaian sesuai atau persalinan sesuai itu ialah pakaian tradisional (berbaju melayu, berkain pelikat, berkopiah/songkok)? Kerana hanya itu yang ketara jelas pada pemerhatian saya. Banyak persoalan yang bermain di benak pemikiran saya. Apakah mereka yang berpakaian kasual ini merasa kolot sekiranya bersama-sama dengan para jemaah yang berpakaian tradisional? Apakah ada persepsi yang sinis pada mereka yang berpakaian kasual ke masjid seolah-olah mereka tidak menghormati rumah Allah? Atau apakah tradisi pemakaian ini menenggelamkan roh kepentingan untuk bersegera solat dan secara berjemaah di masjid? Ataukah hanya sekadar alasan bagi mereka yang jiwanya jauh dari kecintaan terhadap Rabb yang menciptakannya?
Saya pastinya tidak mempunyai jawapan bagi persoalan-persoalan ini, kerana saya masih baru disini dan saya lontarkan pemerhatian ini kepada kalian para hadirin kerana saya tidak akan lama disini. Kalianlah yang perlu memperbetulkan keadaan ini. Kalianlah yang perlu menyelidik sebab sebenar permasalahan ini. Dan kalian para pemuda yang bersama saya pada malam ini, apa peranan kamu? Kalian adalah pilihan Allah kerana terpilih untuk dilanggari hidayah-Nya. Namun, pilihan itu disertai dengan hak dan tanggungjawab. Jadi, APA PERANAN KAMU WAHAI PEMUDA-PEMUDA PILIHAN ALLAH? “
Kembali menulis~
Bismillah…
Kenapa saya menulis?
Ada 3 perkara yang menghancurkan. Orang yang menganggap banyak amal perbuatannya, lupa akan dosa yang dilakukannya dan merasa kagum dengan pendapatnya sendiri. ( Muhammad Baqir bin Ali Zainal Abidin)
Maka, kenapa saya menulis?
Kerja mengarang adalah satu ibadah, selagi mana apa yang dikarang tidak bertentangan dengan batas-batas syarak. Malah dicernakan melalui garisan, panduan dan tuntutan syar’iyyah dan disertakan dengan niat tiada yang lain selain dari kerana-Nya.
Orang yang mengarang akan sentiasa memperkasakan ilmu pengetahuannya. Orang yang merasa tanggungjawabnya pada karangan akan sentiasa berusaha mencari ilmu-ilmu yang baru untuk diamalkan dan seterusnya dikongsikan dengan mereka yang sudi menerima pendapatnya. Jadi, mengapa perlu menolak sesuatu yang mendorongnya ke arah diri yang lebih baik?
Tugas pengarang dalam sebarang karya atau penulisan adalah untuk memanusiakan kembali manusia yang sekarang lebih cenderung kepada sifat-sifat kebinatangan (jahiliyyah). Sesuai dengan firman Allah dalam kalam-Nya bahawa umat islam adalah umat pertengahan; yang diciptakan Allah s.w.t bukan semata-mata untuk beribadat kepada-Nya (sepertimana kaum nasrani) mahupun untuk mengaut keuntungan dunia semata (sepertimana kaum yahudi), tetapi juga sebagai pewaris tugas para anbiya’ yang berterusan menyebarkan risalah-risalah agung melalui apa-apa medium sekalipun.
Menjadi manusia yang dikurniakan Allah dengan kemampuan untuk mengarang semestinya disertakan dengan dua pilihan; membiarkannya/mempergunakannya pada jalan kebatilan atau memanfaatkannya pada jalan yang Allah sukai dan redhai. Perkara yang terbaik adalah menganggap dan yakin bahawa kurniaan itu adalah satu amanah dari Allah s.w.t untuk kita manfaatkan pada jalan agama-Nya, menganggapnya sebagai satu ujian dari Allah untuk Dia melihat siapa diantara hamba-hamba-Nya yang bersyukur. Mungkin ia adalah satu jalan yang dibuka oleh Allah s.w.t untuk kemudahan dalam melakukan kebaikan, dan wajarlah untuk dimanfaatkan sebaik mungkin.
Mereka yang ikhlas dalam mengarang akan sentiasa berusaha membina kekuatan peribadinya, kerana dia merasa penting untuk memiliki prinsip hidup dan pegangan yang jelas serta matlamat yang benar supaya setiap karangannya mempunyai kejujuran yang dapat dirasai dan mengesani setiap individu yang menghayatinya. Dan ianya akan lebih berkesan apabila hakikat keperibadiannya selari dengan kejujuran karyanya.
Meneliti kebaikan-kebaikan tersebut, dengan kesedaran hakikat sebenar seorang penulis yang jelas dengan matlamat dan prinsip hidupnya, saya tidak mampu untuk terus berdiam diri, membiarkan akal terus membekukan idea. Izinkan saya untuk mencairkan semuanya dalam penulisan, kerana ia anugerah dan amanah Ilahi kepada saya hamba-Nya.
Jadi, kenapa saya menulis?
Kerana saya mahu menjadi insan yang lebih baik!
leave a comment