Hidup bagai pengembara~

Pejam celik rupanya sudah hampir 4 bulan saya berada di Malaysia.

Hidup di kampung halaman memang jauh berbeza dengan hidup merantau. Keselesaan dan dikelilingi ramainya saudara-mara menjadikan hidup terasa lebih tenang dan selamat. Tetapi satu yang pasti penggantungan hidup kini mula berbagi-bagi.

Jika ketika merantau ke tempat orang, kita tidak punya sesiapa selain rakan-rakan seperjuangan. Jaminan keselamatan, pertolongan dan pengharapan belas kasih dari Tuhan Yang Maha Esa ketika ini memuncak tinggi dan tidak berbelah bagi kerana Dia lah satu-satunya harapan untuk kita mengadu dan mengharapkan bantuan ketika saudara-mara berada jauh di tanah air.

Perasaan yang ikhlas dan suci ini sepatutnya kekal tidak kira apa situasi dan di mana kita berada. Walaubagaimanapun, sebagai manusia biasa kita tidak terkecuali dari punya perasaan rindu terutamanya kepada sanak-saudara dan rakan-rakan setelah kian lama terpisah. Juga sebagai seorang anak, kita juga terbiasa dengan pergantungan kepada kedua ibu-bapa untuk satu tempoh masa. Ketika inilah jika perasaan tersebut tidak dikawal, kelemahan kita akan terserlah dan dengan mudahnya dimanipulasi oleh iblis laknatullah.

Rasa rindu yang setelah sekian lama dipendam, akhirnya terubat apabila kembali bersama dan berkumpul dengan keluarga. Seketika, kita melupakan segala kesusahan, penat-lelah dan pahit-getir hidup ketika di perantauan sekaligus melemahkan nilai tarbiyyah kita yang telah kita pungut sepanjang kita berada di sana.

Kita mula merasa yang sebarang bahaya yang kita hadapi takkan begitu terbeban dengan adanya keluarga di samping yang mampu menolong meringankannya.

Kita mula merasa yang keselamatan kita terjamin dengan adanya keluarga di samping untuk melindungi tanpa kita secara telus menilai segala yang berlaku baik dan buruknya sebenarnya adalah hanya dengan izin Allah swt.

Segala ketetapan yang mutlak datangnya dari Allah s.w.t dan apa yang kita sangka penyebab kepada keadaan tersebut hanyalah perantaraan yang telah Allah takdirkan untuk disampaikan sama ada sebagai rahmat atau ujian-Nya kepada kita.

Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari yang mafhumnya:

Daripada Ibn Umar r.a., beliau berkata: Rasullah s.a.w. memegang bahuku lalu bersabda: “Jadilah kamu di dunia ini seperti seorang pengembara atau perantau di jalanan“.

Dalam syarah ibn majan menafsirkan hadith ini sebagai pergantungan terhadap dunia ini hanyalah sekadar keperluan yang membolehkan kita untuk terus hidup dan meneruskan perjalanan atau secara jelasnya meneruskan usaha mencapai ketaqwaan dan menggapai redha Ilahi dengan bersungguh mengerjakan suruhan serta meninggalkan larangan-Nya.

Hidup ini jelas adalah satu perjalanan. Ada permulaan dan sudah pastinya ada pengakhiran. Kita bermula dengan kelahiran dan pasti akan berakhir dengan kematian.

Kita sudah melalui pelbagai destinasi; bermula di alam rahim seterusnya lahir ke dunia sebagai bayi yang tidak mengerti apa-apa. Kemudian membesar menjadi remaja yang kuat dan bersemangat sebelum meningkat dewasa dengan pemikiran yang lebih matang. Begitulah seterusnya sehingga tiba saatnya kita sampai ke destinasi yang merupakan penamat bagi penerimaan amalan iaitu alam kubur atau alam barzakh. Ketika ini, kita tiada lagi upaya untuk melakukan apa-apa melainkan melalui satu tempoh penantian untuk dihisab dihadapan Allah azzawajalla.

Inilah hakikat dunia, hidup di dunia adalah satu perjalanan.

Hiduplah – dimana pun kita berada, bagaimanapun keadaan kita – dengan penuh kesedaran bahawa kita adalah seorang musafir. Yang ikhlas mengakui nasibnya 100% diletakkan pada Allah swt. Hampir tiada pengharapan, simpati dan perhatian yang diharapkan pada  ciptaan-Nya yang lain. Hidup mencari bekal sekadarnya, beramal selayaknya ahli syurga.

Hidup sebagai musafir sungguh indah dan tenang, kerana kita tahu mana hujung-pangkalnya suatu kejadian. Tidak risau ditelan badai. Tiada resah menanti nikmat dan hikmah. Hiduplah seperti pengembara. Dunia menjadi tunggangan, akhirat sebagai tujuan perjalanan.

Hasbuna Allah wa ni’mal wakil!