Alhamdulillah…

Sekalipun setiap hari hati menjadi mendung melihatkan betapa banyaknya kerosakan yang berlaku di muka bumi ini, terutamanya yang berlaku di tanah air sendiri, Allah masih memberi gambaran bahawa keadaan yang membarah dalam masyarakat ini masih ada sinar harapannya. Masih ada yang sudi meluangkan masa, masih ada yang sudi menambah beban di fikiran, masih ada yang berusaha mencari erti sebenar kehidupan.

Melihat teman-teman seperjuangan yang dahulunya begitu taksub dengan keseronokan yang bersifat sementara, kini kembali mencari jati diri yang telah lama ditinggalkan, jati diri seorang islam. Teringat kembali keadaan diri ini sebelum diselamatkan dengan petunjuk dan hidayah dari Allah, tidak kurang sama dengan mereka. Cuma masa yang berlainan panjang pendeknya. Dan keadaan kita sekarang tidak menjamin bagaimana keadaan kita pada masa hadapan dan apa kesudahannya. Alhamdulillah, semoga Allah terus melimpahkah hidayah-Nya kepada anda semua dan saya dalam melangkah menongkah arus yang bisa sahaja menghanyutkan sesiapa yang tidak punya tempat pergantungan.

Mencetak diri dan manusia menjadi muslim yang soleh dan solehah.

Untuk mereka yang jauh di lubuk hati begitu inginkan perubahan, sertailah kami. Jangan pernah merasa malu untuk berubah. Jangan pernah merasa payah untuk berubah. Jangan pernah merasa ketinggalan jauh dibelakang mereka yang terlebih dahulu mengorak langkah. Sebaliknya carilah ketenangan dalam perubahan itu. Kami juga masih bertatih. Masih banyak yang perlu kami perkuatkan. Masih banyak yang perlu kami pelajari. Bersama kita melangkah, saling menegur dan memperkuatkan antara satu sama lain. “Ya Allah, jadilah setiap perlakuan kami, tuturkata kami, prasangka kami dan niat kami mencetak diri kami dan mereka yang bersama kami menjadi seorang muslim dan muslimah yang sejati. Dan jadikanlah kami qudwah yang baik kepada mereka yang melihat.” Semoga pengakhiran kita adalah syurga, destinasi impian setiap insan.

Allahumma ameen.

Advertisements