Manifestasi syahadah perlu difahami sebaik mungkin oleh setiap mereka yang mengaku muslim. Mereka yang sebenar-benar faham diseru untuk membimbing mereka yang lain tetapi tidak mempersoalkan atau menghukum ketidaksempurnaan syahadah mereka.

Al-Iman al-Haqiqiy : Tergolong dalam keadaan iman yang tersembunyi yang haknya hanya Allah s.w.t layak untuk menghukumnya. Hal ini termasuklah soal ganjaran syurga dan neraka, pahala dan dosa. Tiadalah layak untuk seorang manusia untuk mempertikaikan atau menyoal keadaan iman yang tersembunyi di dalam hati manusia yang lain setelah kata syahadah terungkap kemas di bibirnya sehingga memberat-beratkan kedudukan agama islam itu sendiri, sedangkan agama islam adalah agama yang mudah yang mampu dianuti dan diamalkan oleh setiap golongan manusia tanpa terlalu mempermudah-mudahkannya.

Al-Iman al-Hukmiy : Tergolong dalam keadaan yang nampak nyata, yang pada dasarnya dibezakan dengan orang muslim dan orang kafir. Hal demikian inilah yang menjadikan harta dan nyawa mereka terjaga dengan ucapan syahadah, tetapi terbatal apabila melampaui hak-hak islam darinya. Antara hak islam ialah mendirikan sembahyang lima waktu, menunaikan zakat dan berpuasa. Jaminan nyawa boleh terbatal jika seseorang melakukan perkara haram yang melayakkan dia dibunuh sepertimana yang dinyatakan dalam satu hadis, dimana Nabi s.a.w bersabda:

“Tidak halal darah seseorang islam yang bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya saya adalah pesuruh Allah melainkan salah satu dari tiga perkara: penzina yang telah berkahwin, bunuh nyawa dibalas nyawa, orang yang meninggalkan agama dan berpisah dari jamaah umat islam (murtad).”

Adapun keadaan sekarang sebahagian umat manusia terlalu taksub dengan keadaan iman yang tersembunyi dalam hati orang lain sehingga terlalu sibuk dengan perkara tersebut dan menghalang mereka dari bekerja membangunkan umat (berdakwah) terutama kepada mereka yang masih buta atau jahil tentang islam. Tanggungjawab daie adalah untuk memartabatkan kembali kalimah syahadah dalam diri umat manusia tanpa kita mempersoalkan kesempurnaannya serta menyedarkan mereka akan hak-hak islam ke atas diri mereka. Iman yang dituntut adalah iman yang berupa perakuan atau pengiktirafan yang tidak berbelahbagi bahwa tiada Ilah selain Allah dan nabi Muhammad adalah pesuruh-Nya serta keyakinan terhadap rukun-rukun iman dan islam tanpa syak dan ragu. Kita perlu membimbing, tetapi bukan menghukum atau mempersoalkannya.

Tanggungjawab jelas bagi mereka yang menyambung tugas para nabi ini telah dijelaskan dalam beberapa hadis. Antaranya seperti yang disertakan dibawah ini;

Al-Imam Al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan dari Abu Sa’id Al-Khudri, bahawa beliau berkata, “Ali pernah mengirim dari Yaman untuk Rasulullah s.a.w sepotong emas dalam kantung kulit yang telah disamak, namun emas itu belum dibersihkan dari kotorannya. Maka nabi s.a.w membahagikannya kepada empat orang iaitu Uyainah bin Badr, Aqra’ bin Habis, Zaid al-Khalil dan ‘Alqamah atau ‘Amir bin at-Thufail. Maka seorang dari sahabat menyatakan, “Kami lebih berhak dengan (harta) ini dibanding mereka.” Ucapan itu didengari oleh baginda nabi s.a.w, maka beliau bersabda, “Apakah kalian tidak percaya kepadaku, padahal aku adalah kepercayaan Dzat yang dilangit (Allah), wahyu turun kepadaku dari langit diwaktu pagi dan petang.”

Kemudian datanglah seorang lelaki (Dzul Khuwaishirah) yang cekung kedua matanya, menonjol kedua diatas pipinya, menonjol kedua dahinya, lebat janggutnya, botak kepalanya dan tergulung sarungnya. Orang itu telah berkata, “Bertaqwalah kepada Allah, wahai Rasulullah!!”

Maka Rasulullah s.a.w bersabda, “Celakalah engkau! Bukankah aku manusia yang paling bertaqwa kepada Allah?!” Kemudian orang itu pergi. Maka Khalid bin Al-Walid radhiallahu anhu berkata, “Wahai Rasulullah, bolehkah aku penggal lehernya?”

Nabi s.a.w bersabda, “Jangan! Barangkali dia masih solat (yakni, masih muslim).” Khalid berkata, “Berapa banyak orang solat dan berucap dengan lisannya (syahadat) ternyata bertentangan dengan isi hatinya.” Nabi s.a.w bersabda, “Aku tidak diperintahkan untuk mengorek isi hati manusia, dan membelah-belah dada mereka.

Kemudian Nabi s.a.w melihat kepada orang itu sambil bersabda, “Sesungguhnya akan keluar dari keturunan orang ini sekelompok kaum yang membaca Kitabullah (al-Quran) dengan mudah, namun tidak melampaui tenggorokan mereka. Mereka menyimpang dari batas-batas agama mereka seperti melesetnya anak panah dari sasarannya.” Saya (Abu al-Khudri) yakin beliau s.a.w bersabda,

“Jika aku menjumpai mereka, nescaya aku akan bunuh mereka seperti dibunuhnya kaum Tsamud.”

*Perenggan terakhir merujuk kepada puak Khawarij yang lahir dari keturunan lelaki tersebut (Dzul Khuwaishirah).

[HR Al-Bukhari dalam kitab Al-Maghazi (4351) dan Muslim dalam kitab Az-Zakah (2448).]

Dalam riwayat lain dari kitab Shahih Bukari dan Muslim menyebut sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Saya diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah. Oleh itu, sesiapa yang mengucap ‘tiada Tuhan melainkan Allah’, mereka telah memlihara darah dan harta mereka daripadaku melainkan dengan hak islam. Dan perhitungan sebenar mereka terserah kepada Allah Azza wa Jalla.

Atas dua perkara ini, para ulama mempunyai bermacam pendapat dan menggariskan perkara-perkara yang boleh membatalkan iman seseorang di dalam kitab-kitab mereka dan point-point yang diutarakan oleh para ulama tersebut perlulah digunakan dan difahami sebaik-mungkin untuk mengelakkan sebarang perselisihan dan menimbulkan pelbagai fitnah yang lebih besar.

Wallahu’alam.

Advertisements