Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Mengasihani.

Untuk setiap nikmat yang kita kecapi hingga ke saat ini, hargailah dengan ucapan hamdalah. Alhamdulillah. Segala puji hanyalah bagi Allah swt.

Orang yang tahu dan telah sedar akan objektif sebenar hidupnya, tidak akan mengasingkan diri melainkan sentiasa berusaha mencorakkan kehidupannya dengan warna-warna indah ad-deen al-islam. Beberapa orang sahabat, sebelum kenabian nabi Muhammad saw, terlebih dahulu sedar akan objektif sebenar hidup mereka. Mereka menolak kepercayaan nenek moyang mereka untuk menyembah berhala dan menyakini keesaan Allah swt sebelum sampai kepada mereka islam.

Diantara mereka ialah Waraqah dan Uthman bin Affan r.a. Mereka mempercayai apa yang dilakukan oleh masyarakat Mekah ketika itu bukan berasal dari agama hanif yang dibawa oleh nabi Ibrahim a.s. Mereka menggelarkan diri mereka sebagai hanifiah (pengikut agama hanif) tetapi pada masa yang sama mereka sendiri tidak pasti bagaimana rupa sebenar agama hanif yang dibawa oleh nabi Ibrahim a.s.

Setiap kali musim perdagangan tiba, Waraqah sentiasa mengingatkan Uthman yang menyertai rombongan perdagangan tersebut untuk mencari dan menanyakan kepada sesiapa sahaja yang dijumpai ketika dalam perjalanan, berkenaan dengan agama nabi Ibrahim a.s. Agama hanif yang sampai kepada penduduk Mekah dan sekitarnya ketika itu telah jauh menyimpang, terlalu banyak tokok-tambah dan bida’ah-bida’ah yang melampau berlaku. Agama hanif ketika itu boleh diibaratkan seperti sehelai baju yang telah reput, hancur berkecai. Hanya sebahagian kecil masih boleh dikenalpasti sebagai baju oleh sesiapa yang melihatnya. Dan bahagian ini, diertikan dalam situasi ketika itu mungkin hanyalah nama Hanif yang masih dikenali sebagai agama nabi Ibrahim a.s.

Kekeliruan sebeginilah yang berlaku pada sebahagian manusia khususnya umat islam pada masa kini. Mereka tidak lagi nampak kewajaran menjadikan islam itu sebagai cara hidup. Mereka tidak lagi merasakan ‘izzah berada pada landasan kebenaran, menebar syiar-syiar islam bahkan malu untuk menonjolkan diri mereka sebagai muslim dan muslimah. Mereka juga merasakan islam itu begitu eksklusif, hanya untuk golongan-golongan agamawan yang ditafsirkan mereka sendiri sebagai ustaz-ustazah, para penceramah, para ‘ulama dan yang seerti dengannya.

Adakah anda juga terkeliru? Atau dikelirukan?

Islam pada sesetengah manusia

Islam pada hari ini dipandang secara terpisah-pisah oleh sesetengah masyarakat. Ada yang menganggap agama dan aktiviti-aktiviti harian mereka seperti pekerjaan, pelajaran, pentadbiran, sukan dan sebagainya tiada kaitan dan tidak boleh disatukan. Malah ada yang menganggap golongan yang menyatukan islam dengan setiap perlakuan dan pekerjaan dalam hidup mereka merupakan satu golongan yang kolot dan berfikiran jumud. Golongan ini dilihat sebagai golongan yang bakal tertinggal dan bergerak mundur ke belakang seolah-olah islam itu adalah beban yang terpaksa mereka pikul.

Islam bukan agama magis

Sesetengah masyarakat pula berlebih-lebihan dalam memandang posisi agama itu dalam kehidupan mereka. Oleh kerana islam itu datangnya dari Allah swt, maka mereka beranggapan islam itu akan tertegak dengan sendirinya tanpa usaha dan kefahaman dari manusia itu sendiri untuk menggerakkan dan mendokong hukum-hakamnya. Sebagai contoh; segolongan manusia beranggapan, setiap genap permasalahan umat yang berlaku kini akan selesai sekiranya ada satu pihak menguasai pemerintahan dan kemudian mengimplimentasikan hukum-hukum islam dalam pentadbirannya tanpa menekankan dengan penekanan yang jitu terhadap usaha mengislah umat manusia yang telah terlalu lama hidup dalam satu sistem jahiliah barat.

Sekiranya masyarakat yang sebahagian besar tidak difahamkan dengan islam yang sebenarnya ini dipaksakan satu sistem islam yang menyeluruh, maka kemungkinan untuk mereka dihasut dan diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh islam yang hidup merata disekeliling mereka untuk membenci sistem tersebut tersangat tinggi. Dan akhirnya, kerajaan islam itu tadi akan digulingkan pada pemilihan kerajaan untuk penggal yang seterusnya dan tampuk pemerintahan sesebuah kerajaan itu kembali pada yang tidak berhak memegangnya.

Sistem tidak dapat membentuk manusia yang indah dan cantik akhlaknya tanpa sentuhan manusia itu sendiri yang menggerakkan dan menerapkan pemahaman tentang sistem itu pada hati manusia yang lainnya. Manusialah yang membentuk manusia sama ada dengan sibghah Allah atau acuan yang selain darinya, dengan izin Allah. Kerana itulah Rasulullah saw diturunkan kepada umat manusia. Kerana itulah Allah memelihara para pewaris nabi (ulama’) yang melata di dunia ini menyentuh hati dan mengislah masyarakat dengan sibghah Allah (islam) yang sebenarnya. Kerana itu Rasulullah saw menyarankan umatnya supaya berhati-hati dalam memilih kawan. Kerana itulah terbitnya pelbagai pepatah dan ungkapan yang menggambarkan betapa besarnya pengaruh manusia di persekitaran kepada seseorang manusia lainnya.

Islam yang kita mahukan

Keistimewaan agama ini tetap ada walau bagaimana dan dimana sahaja ia dibumikan, namun, agama islam adalah agama fitrah, yang meraikan fitrah setiap penganutnya. Fitrah manusia yang beradat, berbilang bangsa, berkeluarga dan bermacam-macam lagi diraikan dan merupakan agama itu sendiri selagimana berada dalam lingkungan syariatnya.

Keistimewaan agama ini yang mampu mencapai pada satu tahap yang tidak akan dicapai oleh oleh mana-mana manhaj ciptaan manusia telah dibuktikan pada zaman kegemilangan kekhilafahan islam, malah mampu mencapai lebih dari itu. Sejarah ini mampu berulang jika diusahakan bersungguh-sungguh dan kena pada caranya. Cara yang tidak mengecualikan fitrah manusia bersamanya, malah memanfaatkannya untuk membentuk kekuatan dan mengikat perpaduan umat islam.

Malangnya, perkara ini tidak berlaku. Sebaliknya ramai yang memisahkan fitrah-fitrah manusia dengan islam. Seolah-olah islam menolak semuanya, sedangkan sirah nabi saw membuktikan kedatangan islam menyucikan fitrah manusia, bukan membenamkan secara total.

Jadi, islam yang kita mahukan ialah islam yang menyucikan hati daripada kotoran-kotoran yang datangnya dari pandangan keduniaan. Hati yang ingin baktinya dipuji dan diperkatakan masyarakat. Hati yang ingin segala yang dimilikinya lebih daripada orang lain. Hati yang malu pada kerendahan diri dibandingkan dengan kehebatan orang lain. Hati yang benci dan dengki dengan kesenangan dan kemenangan orang lain. Dan hati yang mengharap pada yang selain dari Pencipta-Nya.

Islam yang kita mahukan ialah islam yang menyucikan cara pandangan (berfikir) melalui pertimbangan (yang diredhai) atau necara Allah dan membebaskannya daripada terperangkap dengan fahaman-fahaman dan pemikiran-pemikiran sempit hasil daripada pertimbangan manusia yang terkepung dengan emosi dan blok-blok persekitaran. Cara pandang yang hanya melihat kepada kepentingan atau keuntungan diri dan melupakan kesengsaraan orang lain. Cara pandang yang melemahkan semangat diri-sendiri dan beranggapan segala masalah yang datang tiada jalan penyelesainnya. Cara pandang yang membataskannya  dengan orang lain oleh perkumpulan-perkumpulan, gelaran-gelaran, parti-parti, mazhab-mazhab, organisasi-organisasi, ketaksuban pada individu-individu dan apa sahaja blok-blok ciptaan manusia. Dan cara pandang yang menjadikan mereka musuh-musuh dengan mengeneralisekan satu-satu perkumpulan dengan kemungkaran yang dilakukan oleh hanya sebahagian ahlinya.

Islam yang kita mahu ialah islam yang menyucikan perlakuan manusia daripada bersikap ekstrim atau zalim pada persekitarannya. Islam yang menjadikan buah-buah dan butir-butir bicara yang enak didengar dan sahih ucapannya. Islam yang menghadirkan kesedaran bahawa setiap perlakuan dan ucapan ada timba-balas dan kesannya, sama ada pada diri-sendiri atau orang lain, sama ada di dunia ini atau di akhirat nanti.

Islam yang kita mahukan ialah islam yang menyucikan sifat manusia daripada bersikap tamak dan suka menindas. Islam yang menjadikan manusia merasa cukup dengan rezeki yang diperolehnya, tetapi sentiasa merasa kurang dengan amal-amal kebaikan dan risau dengan nasib yang menantinya di hari kebangkitan.

Islam yang kita mahu ialah islam yang menyucikan…(nyatakan sifat-sifat anda)

Islam yang kita mahu ialah islam yang menyucikan…..(nyatakan pemerhatian anda pada sifat-sifat masyarakat sekeliling)

Islam yang kita mahu ialah islam yang menyucikan………(nyatakan pandangan anda pada masyarakat antarabangsa)

Ya! Inilah islam yang kita mahukan, islam yang menyucikan segala fitrah manusia.

Dan ianya tidak akan terjadi dengan sendirinya. Anda bertanggungjawab terhadap diri anda sendiri untuk menjadikan islam yang anda imani sebagai islam yang menyucikan segala fitrah anda sebagai manusia. Tidak payah, hanya perlukan usaha yang gigih dan istiqomah! Kaji dan soroti kembali sirah nabi saw, pada zaman permulaan kenabian, apa yang berlaku di rumah al-Arqam bin abi al-Arqam adalah apa yang anda perlukan!

Firman Allah swt yang mafhumnya:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Ar-Ra’d:11)

Wallahu’alam.

Advertisements