Tangisan jemaah menderu-deru mengiringi tangisan imam ketika bacaan doa qunut dilaungkan, sehingga terkadang mengharukan juga perasaan ini sekalipun doa yang dibacakan tidak dapat difahami dengan sepenuhnya. Suasana sebegini  jarang dapat dilihat di tanah air Malaysia. Saya pasti akan merindui suasana ini ketika meraikan ramadhan pada tahun-tahun hadapan kerana ramadhan ini merupakan yang terakhir saya menyambutnya di perantauan, inshaAllah.

Usai solat sunat witr yang mengakhiri solat-solat sunat tahajjud untuk malam yang ke-23 ini, kami dijamukan dengan nasi arab, pasta, roti pita, kuih baklava dan minuman jus sebagai santapan sahur. Yang mengujakan saya ketika ini bukanlah kepelbagaian juadah sahur di hadapan mata, tetapi kemeriahan suasana yang dirasai. Sekali lagi, secara peribadi, sepanjang hidup saya sebelum sampai di bumi kangaroo ini, saya belum pernah melihat suasana semeriah ini ketika bersahur. Tiada mimik-mimik muka mengantuk dan para jemaah sangat rancak berbual dan bertegur-sapa sambil menikmati juadah yang dihidangkan. Lama saya memerhati, seolah-olah saya berada dalam satu keluarga yang sangat besar. Semoga Allah swt mengekalkan nikmat persaudaraan ini dan menyubur mekarkan ia di tanah air tercinta. Amin.

Sambil menunggu azan subuh dilaungkan, saya mengisi masa dengan bacaan al-Quran. Hari ini merupakan hari yang ke-23 ramadhan. Alhamdulillah, personal target saya untuk menghabiskan sekurang-kurangnya satu juzuk sehari masih tercapai. Dan pagi ini, saya memulakan bacaan untuk juzuk 23. Memang kebiasaan saya, sebelum beralih ke muka surat seterusnya, saya akan menyoroti terjemahan ayat-ayat yang telah dibaca secara sepintas lalu. Saya tidak mahu mengambil masa yang terlalu lama pada satu-satu muka surat, tetapi tidak juga hanya sekadar membacanya tanpa saya mengetahui kisah disebalik bacaan saya itu. Selalunya, akan ada dua atau tiga ayat yang mengikat pandangan mata saya padanya. Dan kali ini, beberapa ayat dari surah Yasin yang dibaca berjaya mencuri masa saya, mengajak saya bermuhasabah diri, mengenang kembali nikmat-nikmat yang banyaknya tidak terkira yang telah Allah swt kurniakan.

…melainkan (Kami selamatkan mereka) kerana rahmat yang besar dari Kami dan untuk memberikan kesenangan hidup sampai waktu tertentu. Dan apabila dikatakan kepada mereka, ‘Takutilah kamu akan siksa yang dihadapanmu (di dunia) dan azab yang akan datang (di akhirat), agar kamu mendapat rahmat.’. Dan setiap kali suatu tanda dari tanda-tanda (kebesaran) Tuhan datang kepada mereka, mereka selalu berpaling darinya.”           (Yasin:44-46)

Allah swt sangat suka akan hamba-Nya yang mengungkit-ungkit dan mengenang-ngenang kembali nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada hamba-Nya. Kerana dari situlah akan lahirnya perasaan rendah hati, kerdil dan seterusnya membuahkan rasa syukur. Tanpa merenung jauh, saya mengenang kembali juadah sahur yang terhidang sebentar tadi. MasyaAllah, saya menganggap ianya adalah kemurahan rezeki dari Sang Pemberi rezeki dan berharap diri ini tidak berlebih-lebihan dalam menikmati hidangan tersebut sebentar tadi tanpa ada kesedaran sedikitpun dari mana sebenarnya ia datang. Allahuakbar!

*******************************************

Jadual hidup saya pada hari ini agak lengang daripada kesibukan uni. Tiada lecture, tutorial mahupun lab. Setelah sebahagian besar pagi ini dihabiskan untuk melepaskan lelah setelah hampir sebahagian besar malam berusaha mengejar Lailatulqadr, waktu petang pula dihabiskan di Lab bagi meneruskan kerja-kerja final year project (FYP) yang telah banyak tertangguh.

Cuaca yang cerah dengan suhu yang agak tinggi dari kebiasaan musim sejuk membuatkan saya tidak sabar-sabar untuk secepatnya menghabiskan kerja-kerja di Lab dan bergegas ke masjid menunggu ifthar. Cabaran sebenarnya bukanlah pada suhu yang tinggi kerana jika dibandingkan dengan suhu di Malaysia, masih jauh lebih rendah. Tetapi cuaca sebegini mengundang banyak ancaman kepada kualiti puasa saya pada hari ini. Sekalipun suhu pada hari ini hanyalah 6-8 degree lebih tinggi daripada kebiasaannya, wanita-wanita OZ berpakaian seolah-olah suhu meningkat 20-30 degree daripada biasa. Jadi, sepanjang bergerak dan berjalan, saya terpaksa mencari benda-benda menarik di sekeliling yang halal untuk dilihat bagi mengelakkan mata ini terpandang pada benda-benda menarik yang tidak halal dipandang. Sukar, tapi ganjaran dari Allah swt menjadi motivasi untuk terus istiqomah.

Teringat saya pada ayat-ayat al-Quran yang dibaca pagi tadi.

“Sesungguhnya penghuni syurga pada hari itu bersenang-senang dalam kesibukan mereka. Mereka dan pasangan-pasangannya berada dalam tempat yang teduh, bersandar diatas dipan-dipan. Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan apa sahaja yang mereka inginkan. (Kepada mereka dikatakan) ‘Salam,’ sebagai ucapan selamat dari Tuhan Yang Maha Penyayang.”     (Yasin:55-58)

Subhanallah, beberapa ayat sahaja sudah memberi mesej yang jelas akan kehebatan nikmat syurga yang tidak tergambar. Di dunia ini, hanya orang yang benar-benar kaya mampu memiliki bermacam-macam benda. Itupun bukan segalanya dapat mereka peroleh. Jadi sudah tentu syurga itu tersangat mahal harganya. Jadi, apalah sangat jika dibandingkan dengan dugaan sekecil ini. Nah, sekarang dugaan tadi yang nampak besar sudah mengecil ;).

Kerja-kerja di Lab masih berbaki, tetapi saya sudah tiada keinginan untuk meneruskannya. Barang-barang yang bersepah perlahan-lahan dikemaskan dan disimpan di tempat yang sepatutnya. Waktu Asar baru sahaja masuk. Perancangannya, untuk solat asar di masjid dan terus menunggu untuk berbuka di situ. Sambil-sambil, boleh menyambung dan seterusnya menghabiskan bacaan juzuk 23. Dan harapan saya untuk mengencangkan lagi ibadah pada malam ini dan malam-malam yang masih berbaki. Anda pula bagaimana? =)

-AMuslimStranger, Final Year Bachelor of Engineering (Electrical), RMIT

Sumbangan ke: http://ismaaustralia.com/ihyaramadan/?cat=13

Advertisements