Tatkala saya menulis coretan ini, saya terasa sangat malu dan takut.

Malu dengan usangnya blog ini. Malu kerana tidak mampu berkongsi pengalaman-pengalaman yang sangat berharga sepanjang lebih kurang 2 bulan saya kembali di tanah air. Malu kerana tidak sempat merakamkan bait-bait mutiara yang diperoleh dalam bentuk penulisan dan perkongsian. Malu kerana saya seolah-olah semakin kehilangan mutiara-mutiara yang berharga tersebut oleh kerana lemahnya kongkongan memori melawan masa.

Saya lebih malu kepada Allah swt.

Malu kerana kegersangan post di blog ini, seolah menggambarkan betapa gersangnya jiwa ini dari siraman ilmu dan tazkirah, yang sekian lama membajainya selama ini kini terbantut dengan beralasankan mencuri masa menyesuaikan diri. Malu dan takut dengan Allah, sekiranya dicelahan masa tersebut, saya alpa dengan perancangan dunia sehingga terlupa akan perancangan akhirat. Takut sekiranya jiwa ini semakin jauh dari-Nya.

Hanya tautan ukhwah dari orang-orang yang cintakan Allah dan keterikatan hati dengan rumah Allah menjadi bekal menyelusuri liku-liku masa-masa yang genting ini.

Alhamdulillah, setelah sekian lama akan kembali berusrah. Tak sabar nak bajai kembali hati yang dahagakan siraman mutiara ni. Semoga Allah permudahkan, redha dan ampunkan kealpaan lalu.