Dalam perbincangan santai dengan beberapa orang rakan pada beberapa hari yang lepas, saya sempat mencatat beberapa points yang menarik untuk dikongsikan. Perbincangan ini hadir secara tidak langsung hasil daripada persoalan yang dikemukakan salah seorang dari kami berkenaan dengan kesukaran untuk istiqamah dalam perubahan kearah kebaikan.

Persoalan tersebut sebenarnya bukanlah masalah peribadi rakan yang bertanya semata, tetapi sangat bersangkutan dengan kami semua. Rata-rata termasuk saya sendiri mengakui banyak khilaf dalam usaha mengekalkan kebaikan dalam kelakuan seharian dan seringkali khilaf hadir tanpa disedari. Senang untuk berubah 180 darjah dari berkelakuan jahat kepada berkelakuan baik. Begitu juga senang untuk menyesali kesilapan yang dilakukan. Tetapi sejauhmana kita berjaya mengekalkan kondisi amal kita untuk tetap dalam perlakuan yang mendapat ganjaran pahala dan keredhaan Allah swt adalah persoalan yang serius untuk diteliti jika kita serius untuk memperbaiki diri.

Kita tahu, tetapi bagaimana?

Perbincangan kali ini lebih menjurus kepada praktikaliti berbanding ilmiah. Manusia tahu setiap kesalahan adalah salah dan tidak menguntungkan, tetapi bagaimana untuk mengelakkan diri dari melakukannya tidak ramai yang pandai. Apa strategi-strategi atau perbuatan yang boleh kita lakukan (praktikal) untuk istiqamah berada dalam persekitaran yang kondusif dalam mengislah diri? Secara ringkasnya daripada perbincangan kami, setiap permasalahan yang berlaku mesti ada puncanya. Untuk memadam terus sesuatu masalah tidak mustahil jika punca utamanya dapat kita pasti dan tindakan untuk melenyapkan punca tersebut dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Kenali punca, atasinya!

Ini lebih mudah dan kebiasaannya dianalogikan dengan penyakit, sebagai contoh kanser. Kanser bukan sahaja melumpuhkan bahagian organ yang dijangkiti, bahkan menimbulkan pelbagai simpton-simpton lain yang memudaratkan. Mudah untuk menghilangkan simpton-simpton ini, tetapi tidak akan bertahan lama. Ianya akan muncul kembali dalam masa yang singkat kerana sumber atau punca kepada simpton ini muncul masih aktif. Bahagian yang terinfeksi dengan kanser perlu segera dirawat dan dibuang jika perlu. Begitu jugalah halnya dengan tarikan-tarikan yang merencatkan usaha kita untuk memperbaiki diri.

Penuhi hak diri

Katakanlah dahulu kita seorang kaki games, kemudian datang kesedaran untuk meninggalkan minat yang mendalam ini. Jika tidak dilupuskan minat ini dan digantikan dengan satu minat atau hobi yang lebih sihat dan bermanfaat, maka lama-kelamaan kita akan berasa lelah dan lemah dengan tarikan minat yang lama ini. Kita akan berasa bosan dengan perubahan yang cuba kita lakukan, cemburu dengan mereka yang hidup tanpa cita-cita yang besar dan jiwa meronta-ronta untuk kembali kepada kehidupan lampau. Kita mungkin mampu bertahan untuk satu tempoh masa, tetapi lama-kelamaan rontaaan demi rontaan mampu merungkai rantaian nafsu yang sekian lama kita kunci. Ini kerana satu sisi kehidupan kita tidak diberikan hak yang sewajarnya. Manusia perlukan hiburan. Minat kita yang mendalam terhadap permainan games adalah hak hiburan yang kita penuhi satu ketika dahulu dan itulah puncanya, dan cara untuk melenyapkannya adalah dengan mencari minat atau hobi lain sebagai alternative yang mampu memuaskan hak sebagai manusia biasa. Begitulah juga halnya dengan hak-hak yang lain (makan, minum, berkasih-sayang dan sbgny).

Perubahan ibarat mendaki gunung

Sebahagian dari kita tiada kesabaran dalam melakukan perubahan. Kita tahu untuk bersabar menahan marah dan menghadapi ujian, tetapi tidak dalam melaksanakan perubahan. Berubah kepada kebaikan dan berubah kepada keburukan adalah suatu yang jelas berlawanan. Berubah kearah kebaikan ibarat mendaki gunung yang tiada puncaknya. Lawannya adalah menuruni jurang yang dalam tiada penghujungnya. Berubah untuk keburukan boleh berlaku sekelip mata. Kita boleh mengumpul kekuatan dan kemudian berlari menuruni cerunan. Manakala mendaki bukit adalah sebaliknya. Selangkah demi selangkah mendaki. Perlukan kesabaran mengatasi masa, mengumpul kekuatan demi kekuatan selari dengan langkahan.

Orang yang tiada padanya kesabaran akan cuba berlari ke puncak. Permulaan akan Nampak begitu cemerlang mengatasi yang lain. Tetapi kelamaan akan penat lelah menjengah, tidak lagi meneruskan langkah, bahkan mungkin tergolek kembali ke cerunan.

Kesimpulannya

Cari puncanya, dan gantikan/lenyapkan ia dengan sesuatu yang halal dan tidak berlebihan. Jangan berlaku zalim terhadap diri sendiri. Manusia merasa tidak puas dengan sedikit dan mudah merasa bosan dengan banyak. Bersederhanalah dalam semua perkara termasuk dalam melakukan perubahan.

Advertisements