Bismillah…

Kenapa saya menulis?

Ada 3 perkara yang menghancurkan. Orang yang menganggap banyak amal perbuatannya, lupa akan dosa yang dilakukannya dan merasa kagum dengan pendapatnya sendiri. ( Muhammad Baqir bin Ali Zainal Abidin)

Maka, kenapa saya menulis?

Kerja mengarang adalah satu ibadah, selagi mana apa yang dikarang tidak bertentangan dengan batas-batas syarak. Malah dicernakan melalui garisan, panduan dan tuntutan syar’iyyah dan disertakan dengan niat tiada yang lain selain dari kerana-Nya.

Orang yang mengarang akan sentiasa memperkasakan ilmu pengetahuannya. Orang yang merasa tanggungjawabnya pada karangan akan sentiasa berusaha mencari ilmu-ilmu yang baru untuk diamalkan dan seterusnya dikongsikan dengan mereka yang sudi menerima pendapatnya. Jadi, mengapa perlu menolak sesuatu yang mendorongnya ke arah diri yang lebih baik?

Tugas pengarang dalam sebarang karya atau penulisan adalah untuk memanusiakan kembali manusia yang sekarang lebih cenderung kepada sifat-sifat kebinatangan (jahiliyyah). Sesuai dengan firman Allah dalam kalam-Nya bahawa umat islam adalah umat pertengahan; yang diciptakan Allah s.w.t bukan semata-mata untuk beribadat kepada-Nya (sepertimana kaum nasrani) mahupun untuk mengaut keuntungan dunia semata (sepertimana kaum yahudi), tetapi juga sebagai pewaris tugas para anbiya’ yang berterusan menyebarkan risalah-risalah agung melalui apa-apa medium sekalipun.

Menjadi manusia yang dikurniakan Allah dengan kemampuan untuk mengarang semestinya disertakan dengan dua pilihan; membiarkannya/mempergunakannya pada jalan kebatilan atau memanfaatkannya pada jalan yang Allah sukai dan redhai. Perkara yang terbaik adalah menganggap dan yakin bahawa kurniaan itu adalah satu amanah dari Allah s.w.t untuk kita manfaatkan pada jalan agama-Nya, menganggapnya sebagai satu ujian dari Allah untuk Dia melihat siapa diantara hamba-hamba-Nya yang bersyukur. Mungkin ia adalah satu jalan yang dibuka oleh Allah s.w.t untuk kemudahan dalam melakukan kebaikan, dan wajarlah untuk dimanfaatkan sebaik mungkin.

Mereka yang ikhlas dalam mengarang akan sentiasa berusaha membina kekuatan peribadinya, kerana dia merasa penting untuk memiliki prinsip hidup dan pegangan yang jelas serta matlamat yang benar supaya setiap karangannya mempunyai kejujuran yang dapat dirasai dan mengesani setiap individu yang menghayatinya. Dan ianya akan lebih berkesan apabila hakikat keperibadiannya selari dengan kejujuran karyanya.

Meneliti kebaikan-kebaikan tersebut, dengan kesedaran hakikat sebenar seorang penulis yang jelas dengan matlamat dan prinsip hidupnya, saya tidak mampu untuk terus berdiam diri, membiarkan akal terus membekukan idea. Izinkan saya untuk mencairkan semuanya dalam penulisan, kerana ia anugerah dan amanah Ilahi kepada saya hamba-Nya.

Jadi, kenapa saya menulis?

Kerana saya mahu menjadi insan yang lebih baik!